Spiga

Pertentangan Diantara an-Nas dan al-Mufassar

Pertentang diantara an-Nas dan al-Mufassar

Seperti mana diketahui, lafaz al-Zahir, al-Nas, al-Mufassar dan al-Muhkam tidak berada pada satu tahap yang sama tarafnya. Ianya berbeza dari sudut tingkatan dan kekuatan serta kejelasan lafaznya.[1] Maka seperti yang kita maklumi bahawa al-Muhkam adalah sejelas-jelas lafaz dilalah. Kemudian diikuti oleh al-mufassar, al-Nas dan akhirnya al-Zahir.[2] Maka, apabila berlaku pertentangan sesama dilalah, didahulukan an-Nas dari az-Zahir, dan dikuatkan al-Mufassar keatas az-Zahir dan an-Nas, dan diutamakan al-Muhkam dari kesemua berikut. Ini kerana yang kuat akan mendahului yang lemah sekiranya berlaku pertentangan.[3]

Berdasarkan perbincangan kita disini, apabila berlaku pertentangan diantara lafaz an-Nas dengan al-Mufassar, maka lafaz al-Mufassar hendaklah diutamakan penggunaanya. Ini kerana dari sudut dilalah terhadap hukum, lafaz al-Mufassar adalah lebih kuat kerana ianya tidak menerima kemungkinan at-ta’wil.[4]

Misal yang dapat diberi disini seperti pada sabda Rasulullah s.a.w. [5]

Contoh pertama :
المستحاضة تتوضأ عند كل صلاة
Bermaksud : “Perempuan yang keluar darah istihadhah ( penyakit) hendaklah berwudhu’ setiap kali hendak melakukan solat”.

Contoh kedua : Hadis daripada Fatimah binti Qais.
توضئ لوقت كل صلاة
Bermaksud : “ berwudhu’ ketika masuk waktu solat”

Contoh yang pertama merupakan an-Nas yang mana mewajibkan kepada perempuan yang keluar darah istihadhah untuk berwudhu’ apabila hendak melakukan solat. Ia juga bermaksud wudhu’ itu diterima bagi semua solat.[6]

Manakala contoh kedua adalah al-Mufassar yang mana ianya tidak memerlukan takwil terhadap ayat tersebut.[7] Ia dengan lebih jelas berbanding contoh dilalah an-Nas yang pertama. Ayat ini menunjukkan perintah berwudhu’ bagi perempuan istihadhah adalah ketika mana masuknya setiap kali waktu solat. Dan mereka haruslah mengulangi wudhu’ mereka pada setiap solat fardhu yang lain.

Maka dijelaskan secara nyata disini yang lebih tarjih adalah contoh yang kedua kerana ianya adalah ayat yang tergolong dalam kategori al-Mufassar. Sepertimana diketahui al-Mufassar lebih kuat dan lebih jelas dilalahnya berbanding an-Nas.[8]


[1] Badran Abu al-Ainain, Ushul al-Fiqh, hlm 169
[2] Abd Wahab Khallaf, hlm 181
[3] Wahbah az-Zuhaily, al-Wajiz fi al-Ushul al-Fiqh, Damsyiq : Dar al-Fikr, 2003, hlm 180
[4] Ibid, hlm 189
[5] Wahbah az-Zuhaily, op.cit, hlm 180
[6] Badran Abu al-Ainain, Ushul al-Fiqh, hlm 170
[7] Wahbah az-Zuhaily, op.cit, hlm 180
[8] Ibid, hlm 181

0 comments: